Skip to main content
Press Release

KMSB Motors Menandatangani Perjanjian Usahasama Teknikal Dan Pembekalan Bersama Suzuki Motor Corporation Dan Memperkenalkan Motosikal Keluaran Tempatan Jenama AFAZ

By 16 September 2023No Comments


PUTRAJAYA, 15 September 2023 – KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB) pada hari ini menandatangani perjanjian usahasama teknikal dan pembekalan bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun dan sekaligus memperkenalkan jenama baru motosikal Malaysia, AFAZ. Majlis ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif KMSB Motors Sdn. Bhd. (AMI)

Toshihiro Suzuki,
Presiden SMC

KMSB diwakili oleh En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif KMSB Motors Sdn. Bhd. (AMI), dan manakala SMC diwakili oleh Presiden, Toshihiro Suzuki. Usahasama ini juga merupakan kelangsungan kepada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan (AM-2) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah disempurnakan pada 23 Ogos tahun lalu.Melalui perjanjian ini, Suzuki bersetuju membekalkan komponen penting untuk KMSB membangunkan motosikal AFAZ. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memangkin industri otomotif dua-roda negara yang merangkumi sejumlah 718,000 buah motosikal yang dipasarkan sepanjang tahun 2022. Secara langsung ia akan menyumbang kepada keperluan kepakaran industri pembuatan tempatan, memangkin industri vendor, pertumbuhan tenaga kerja, dan pembangunan program industri yang berasaskan teknologi tinggi serta kemahiran yang pastinya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

Perjanjian ini juga selaras dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (atau NIMP 2030) oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023. NIMP bakal mendorong Malaysia menjadi pemimpin global dalam pembangunan industri, memperluas jaringan domestik serta memperkuatkan rangkaian nilai global dalam sektor pembuatan. Sekaligus Malaysia berpotensi menjadi kuasa penting dalam menjayakan 4 misi luas NIMP2030 yang disokong oleh 4 penggerak utama yang mengintegrasikan PKS dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

AFAZ, jenama yang diperkenalkan oleh KMSB, akan memimpin inovasi dan reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran Penyelidikan, Pembangunan, Pemasaran & Inovasi (RDCI) tempatan dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi, dan inovasi. AFAZ berhasrat menjadi pemain utama dalam pasaran motosikal tempatan dan sekaligus bersaing di peringkat ASEAN dan global. Dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran 20 kakitangan RDCI, AFAZ berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik perhatian peminat motosikal tempatan dan antarabangsa dengan menerapkan unsur estetika kontemporari dan moden dalam reka bentuk mereka. Aktiviti ini juga turut melibatkan aktiviti kejuruteraan yang menitikberatkan peraturan terkini antarabangsa UNECE (WP.29).

Galeri Foto

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nama: Hafidz Moro
Jawatan: Ketua Pemasaran dan Komunikasi
Emel: mohdhafidz.mohdrodzi@kmsbmy.com.my
Telefon: +60123263065